UTHM Rai Alumni Antarabangsa Dan Bakal Pelajar Di Batam

BATAM – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA) telah menganjurkan Majlis Perasmian Alumni Chapter Antarabangsa Perkumpulan Pelajar dan Alumni Batam (PERKAP) pada 22 Julai lalu bertempat di Hotel Golden View, Batam, sekali gus mengadakan perjumpaan dengan bakal pelajar daripada Batam yang akan mendaftar di UTHM nanti.

Majlis ini menjadi program pertama bagi Chapter Alumni Antarabangsa meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa.

Penganjuran program ini juga merupakan satu langkah permulaan ke arah pembentukan alumni yang lebih aktif selain sebagai usaha menjalin hubungan erat dalam kalangan alumni dan pelajar UTHM.

Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah PKKA, PM Ir. Dr. Muhammad Saufi Kamarudin.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga terhadap alumni UTHM kerana telah memberikan komitmen yang jitu dengan memulakan langkah awal bagi mempromosikan UTHM di peringkat global.

Tambah beliau, kehadiran UTHM ke Batam merupakan suatu pengiktirafan dan penghargaan kepada para alumni di sana yang sentiasa menyokong universiti selama ini.

“UTHM sangat berbangga melihat kejayaan alumni yang kini menjadi individu penting dalam sektor pendidikan di Kepulauan Riau (Kepri) malahan ada yang menjadi ahli politik bertaraf Senator,” katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut, Dato Dr. Hardi yang merupakan alumni Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) 2016; Dr. Hj. Andi Agung, Kepala Dinas Pendidikan Kepri; Rektor-rektor Pusat Pengajian Tinggi Kepri dan 20 Alumni UTHM bersama 50 bakal pelajar UTHM.

Majlis perasmian tersebut juga menyaksikan Dato Dr. Hardi telah dilantik secara rasmi sebagai Presiden pertama PERKAP.

Penubuhan PERKAP akan menjadi pendorong kepada pelajar dan bakal pelajar UTHM melanjutkan pelajaran.

Dato’ Dr. Hardi dalam ucapannya menyeru kepada alumni untuk bersama-sama menyokong pembangunan pendidikan kepri dan memilih UTHM sebagai wadah institusi pendidikan utama anak-anak kepri yang akan menyambung pengajian.

Selain itu, Dato’ Dr. Hardi turut berkongsi pengalaman beliau semasa melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di UTHM.

Menurut beliau persekitan kampus yang baik dan berkat sokongan pensyarah, beliau akhirnya menjadi lebih bersemangat sekali gus berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang.


Pengarah PKKA, PM Ir. Dr. Muhammad Saufi Kamarudin bergambar bersama Dato Dr. Hardi, Dr. Hj. Andi Agung, Rektor-rektor Pusat Pengajian Tinggi Kepri dan alumni UTHM.


Sesi bergambar bersama bakal-bakal pelajar ketika berlangsungnya Program Persediaan Bakal Pelajar UTHM.

admin
Author: admin

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *